REHDA, MBAM Mahu Kerajaan Kaji Semula Duti Setem 0.5 Peratus
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) mahu kerajaan mengkaji semula duti setem sebanyak 0.5 peratus yang dikenakan ke atas kontrak perkhidmatan.
Dalam satu kenyataan di sini Selasa, presidennya, Datuk Ng Seing Liong, berkata persatuan itu membantah duti tersebut terutamanya dalam tempoh yang mencabar sekarang ini kerana ini akan memberikan kesan yang serius ke atas industri.
Baru-baru ini Kementerian Kewangan bersetuju menyemak semula duti setem kepada 0.5 peratus yang dikenakan hanya ke atas perjanjian pembinaan utama, dan RM50 ke atas perjanjian kecil dengan subkontraktor.
"Rehda masih tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengekalkan duti itu pada 0.5 peratus," katanya.
Ng berkata duti setem tambahan yang dikenakan ke atas kontrak pembinaan itu membantutkan produktiviti dan tidak konsisten dengan dasar dan objektif yang dinyatakan dalam pakej rangsangan bagi membawa keluar ekonomi dari krisis kewangan dengan menjana kegiatan ekonomi dalam industri pembinaan.
Beliau berkata Rehda mahu kerajaan mengecualikan kadar duti setem yang dikenakan ke atas semua perjanjian perkhidmatan tanpa cagaran, termasuk kontrak perundingan, operasi dan penyenggaraan.
"Dengan duti setem sebanyak 0.5 peratus itu, kontrak pembinaan bernilai RM10 juta, misalnya, dikenakan cukai sebanyak RM50,000 manakala sebelum ini duti sebanyak hanya RM10 dikenakan ke atas setiap dokumen tanpa mengira jumlah nilai kontrak.
"Ini pastinya mendorong peningkatan kos pembinaan," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), dalam satu kenyataan hari ini, mahu kerajaan kembali mengenakan fi kadar rata RM10 ke atas perjanjian perkhidmatan pembinaan.
Ia berkata meskipun kerajaan telah mempertimbang rayuan peserta industri, namun hakikatnya ialah kontrak utama masih diperlukan membayar duti setem sebanyak 0.5 peratus.
"Ini akan menambah kos dan kerumitan kepada industri pembinaan.
"Ini akan menyebabkan industri menanggung kos RM300 juta setahun, yang lebih kurang empat kali levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan," katanya.
MBAM berkata duti setem itu akan juga menyulitkan urusan berkaitan operasi pembinaan seperti kemudahan kewangan dan insurans, yang mungkin memerlukan dokumen-dokumen disertakan duti setem dan dibayar lebih awal.
-- BERNAMA
0 comments: